Jumaat, 19 Oktober 2012

ANDAI AKU PERGI DULU SEBELUM MU…


Pandanglah wajah orang yang paling kita sayangi… samada ibu, bapa, suami, isteri, anak-anak atau siapa sahaja. Pasti kita akan berpisah dengannya satu hari nanti. Detik itu pasti datang. Itu janji kita sejak dulu… sanggup datang, sanggup pulang. Kita dan dia pasti berpisah oleh takdir yang dinamakan kematian.
Itulah detik yang paling menyedihkan. Sedih bagi mereka atau kita yang ditinggalkan. Dan lebih sedih bagi kita yang mungkin meninggalkan. Tidak kira siapa yang dahulu, siapa yang kemudian – ditinggalkan atau meninggalkan pasti menggetirkan.
Seorang isteri yang kematian suami… ketika seluruh dan sepenuh hati masih bersamanya. Masih banyak yang perlu diselesaikan – anak-anak, cita-cita dan harapan – tetapi ajal maut datang memutuskan segala dan semua yang kita inginkan. Ya, kita cuma hamba. Pada kita cuma tadbir, pada-Nya segala takdir.
Kekadang masih tak puas bermanja dengan ayah dan ibu… tiba-tiba sahaja mereka dipanggil pergi. Hingga lidah kelu dan hati sayu, tidak ada lagi insan yang boleh panggil ibu. Oh, sedihnya apabila ditinggalkan ayah… insan yang paling kita yakini sangat mencintai kita dan kasihnya yang tidak pernah berbelah, tetapi terpaksa berpisah! 
Sekiranya saat ini kita diuji dengan kematian… ditinggalkan oleh yang tersayang. Maka kenangkanlah hidup kekasih Allah, Rasulullah saw. Bukankah baginda telah dididik oleh mehnah paling getir yang bernama kematian? Bukankah ayahnya Abdullah pergi dulu sebelum sempat baginda dilahirkan? Ibunya Aminah menyusul beberapa tahun kemudian.
Tidak sempat bermanja lama dengan datuknya Abdul Mutalib, datuknya pula meninggalkannya. Lalu baginda yang yatim lagi piatu itu dipelihara oleh bapa saudaranya Abu Talib.
Kenangkan zaman kanak-kanak Rasulullah, tanpa ibu-bapa tetapi telah tega menjadi gembala kambing. Padang pasir dan angin kering menjadi sahabatnya. Lukisan alam itulah yang melakarkan jiwa suci dan akal tajamnya hingga mencari-cari makna kehidupan. Tidak sudi dia menjengah jahiliyah. Tidak rela dia dengan maksiat dan dosa. Hatinya berkata, bukan itu kebenaran dan kebahagiaan… lalu dia menyendiri di dalam gua. Jika tidak mampu mengubat, jangan dijangkiti. Lalu baginda lari… menyendiri.
Sejak baginda berkahwin dengan Khadijah, itulah srikandi sejati cintanya. Yang membawa bekal makanan ke gua Hira’. Yang menyelimuti tubuh dinginnya apabila digegar wahyu pertama. Yang memberikan jiwa dan harta untuk dia berdakwah, berjuang apabila digesa oleh surah Mudasthir (orang berselimut) – qum faanzir – bangun dan serulah!  Itulah Khadijah kekasih Rasulullah, insan terhampir ketika semuanya meminggir.
Namun tidak lama, di tahun dukacita itu… Khadijah pergi buat selama-lamanya. Baginda kehilangan dorongan – pada jiwa dan harta. Khadijah tiada lagi.  Pergi ketika kasih dan cintanya masih didambakan. Sudah hilang bisikan yang memberikannya semangat, kasih sayang, pembelaan dan kemesraan. Baginda berdukacita… Namun, selang hanya beberapa bulan satu kehilangan berlaku lagi. Abu Talib pula  pergi.  Sedihnya, dia pamit tanpa syahadah.
Tiada lagi perisai yang melindunginya daripada ancaman fizikal kaum Quraisy. Bila-bila masa sahaja pedang, tombak dan panah kaum jahiliah boleh menerjah. Jika dengan kematian Khadijah, baginda kehilangan dorongan. Dengan kematian Abu Talib baginda kehilangan perlindungan. Tanpa dorongan, tanpa perlindungan, Rasul keseorangan untuk meneruskan perjuangan.
Tidak cukup dengan itu, ketika Islam sudah bertapak di Madinah. Seorang ayah bernama Rasulullah, kehilangan  pula puteri-puteri kesayangannya Zainab, Ruqayyah dan Umi Khalsum… Subhanallah, tabahnya hatimu ya Rasulullah. Kematian demi kematian, tetapi kau terus hidup dengan hati yang berjuang. Seolah-olah kematian yang menyedihkan itu menjadi obor perjuanganmu menerangi hati umat yang mati ini!  
Ya, saudara-saudaraku. untuk apa semua ini dilakukan oleh Allah yang Maha Kasih kepada kekasihNya Muhammad? Ya, jangan bergantung kepada selain-Nya. Hanya bergantung kepada-Nya. Lalu jika kau kini sedang diuji dengan kematian suami, isteri, ibu-bapa, anak-anak, kenangkanlah hidup kekasih Allah, Rasulullah. Mari kita hayati dan mengambil ibrah dari setiap episod kematian yang telah dilaluinya.
Jika kita kematian ayah, ibu, datuk, isteri, ayah saudara, anak dan sahabat… kita kenangilah hidup Rasullullah yang telah melalui segaladan semua itu. Hinggalah di saat akhir ketika baginda pula yang dipanggil  pergi,
Andai ku pergi dulu sebelum mu, sepuhlah air mata dan teguhkanlah jiwa. Kita yang masih hidup perlu menyambung perjuangannya. Tidak mengapa bersedihlah seketika. Itu fitrah jiwa. Namun sederhanalah kerana esok kau mesti bangkit semula. Katakan pada diri, ya… kau telah pergi, pergi bersama doa ku. Kau tunggu di sana, pasti aku akan menyusul nanti!
Andai ku pergi dulu sebelum mu, tanyakan pada hati mu yang sebati dengan hatinya, apa yang dia inginkan jika dia masih di sisi? Renung wajah anak-anak mu, lontarkan fikir melampaui kesedihan. Anak-anak mu punya masa depan. Di tangan mu segala cita-cita dan harapan. Jangan sampai nestapa ini menjadi halangan. Apakah kau tega mengecewakan?
Andai ku pergi dulu sebelum mu, katakan pada diri, akan ku galas amanah ini. Sekiranya terpaksa bertongkat dagu pun,  aku  tidak akan lemas dipagut sendu. Berjuanglah, agar dia bisa senyum di Barzakh itu. Oleh nukilan doa anak yang soleh dan solehah. Kalau benar cinta itu setia, anak-anak itulah titiannya. Di jambangan munajat, di taman ibadat, tentu ada sungai pahala… yang mengalir selamanya..
Andai ku pergi dulu sebelum mu, walau pun dia tidak akan kembali lagi, tetapi itu akhir pertemuan. Dulu kita bertemu untuk berpisah.  Kini kita berpisah untuk bertemu. Inilah jalan takwa yang telah dilalui oleh Siti Aishah, Siti Habshah, Ummu Salamah, Mariah Qibtiyah bila ditinggalkan Rasulullah. Syukur kau terpilih untuk melalui jalan mujahadah. Mujur kau ditakdirkan merasai mehnah Ilahi – tradisi hidup Ummahatul mukminin yang ditinggalkan suami!
Andai ku pergi dulu sebelum mu, sibuklah diri mu. Beribadahlah sehingga kau letih untuk merasa sedih. Gembirakanlah hati mu dengan menggembirakan orang lain. Carilah peluang kebajikan dan kebaikan yang bertaburan. Bila sesekali kesedihan datang tanpa diundang, berwuduk dan bacalah Al Quran. Dirikanlah solat, sesungguhnya solat itu satu kerehatan. Begitulah setiap kali Rasulullah SAW bila terasa gundah… diadukan kesedihan kepada Allah.
Andai ku pergi dulu sebelum mu, bisikan ke dalam hati mu yang paling dalam. Dia bukan milik ku. Dan aku pun bukan miliknya. Pemilik segala ialah Al Malik. DIAlah yang memiliki dan menguasai segala-galanya. Pada kita hanya amanah, sampai masanya terpaksa diserah.   Jangan ada rasa dimiliki, dan jangan ada rasa memiliki. Bila terasa sepi, jangan katakan aku sepi… tapi katakan pada ku sentiasa ada pemerhati.
Apa lagi yang boleh menggugat kebahagiaan seseorang manusia yang lebih hebat daripada kematian? Kemiskinan, kesakitan, celaan, kekalahan dan lain-lain ujian hidup adalah kecil berbanding kematian. Kematian adalah “pemutus” segala kebahagiaan. Sama ada, kita ditinggalkan oleh orang yang kita sayangi. Atau kita sendiri meninggalkan mereka. Saat itu, adalah saat yang paling derita. WALLAHU`ALAM

Tiada ulasan:

Catat Ulasan